ku ingin tinggal di belakang gigi mu
Sal Priadi punya banyak lagu yang liriknya aneh.
Yang paling aku ingat ialah: “aku lihat ada tempat longgar di sana, aku ingin tinggal di belakang gigi mu.”
Kenapa Sal nak tinggal di belakang gigi? Tak ada siapa pun yang patut atau layak duduk di situ. Ruangnya sempit, gelap, kadang-kadang lembap, mungkin sebab ada sisa makanan yang terselit dan tak sempat dibersihkan. Kalau difikirkan secara literal, itu tempat yang paling tidak romantik untuk dipilih. Orang selalu mahu tinggal di hati seseorang, di ingatan seseorang, di rumah seseorang. Tapi belakang gigi? Siapa yang pilih tempat seperti itu?
Tapi mungkin sebab itulah lirik itu tidak habis-habis mengganggu aku.
Aku bayangkan Sal nampak satu ruang kecil, mungkin di celah antara gigi taring atau di tepi geraham yang bocor, ruang yang tidak diperhatikan orang lain. Ruang yang tidak cantik, tidak istimewa, tetapi masih ada. Mungkin ruang itu terhasil kerana terlalu banyak gula, terlalu banyak kopi. Dan daripada semua ruang di tubuh manusia, Sal memilih ruang itu untuk tinggal.
Pada mulanya aku fikir mungkin Sal bercerita tentang mahu bersembunyi. Sembunyi dari dunia yang terlalu laju. Sembunyi dari kehidupan yang terus bergerak tanpa pernah menunggu siapa pun. Ada hari-hari tertentu di mana aku faham keinginan itu, keinginan untuk mengecilkan diri sampai boleh masuk ke tempat paling sempit dalam tubuh seseorang, supaya dunia luar tidak lagi mempunyai kuasa untuk memanggil aku pulang.
Tapi semakin lama aku fikir, semakin aku rasa lirik itu bukan sekadar tentang bersembunyi dari dunia yang bingit.
Satu hari, aku terbaca satu fakta: bila seseorang meninggal dunia, gigi adalah antara bahagian terakhir tubuh manusia yang reput. Daging hilang dahulu. Kulit hilang dahulu. Rambut, suara, badan, semuanya pergi satu demi satu. Tetapi gigi tinggal lebih lama, keras, degil, seolah-olah enggan menyerah kepada tanah.
Dan bila aku teringat semula lirik aneh Sal, aku faham maksudmu sekarang, Sal.
Mungkin tinggal di belakang gigi bukan tentang mencari ruang kecil untuk bersembunyi. Ia adalah tentang memilih tempat yang paling hampir dan kekal dengan orang yang kita cintai.
Kalau benar begitu, aku setuju, Sal. Aku juga mahu tinggal di belakang gigi. Tempatnya sunyi dan sempit, tapi bertahan lama. Tempat yang tidak dipandang indah, tetapi tidak mudah hilang. Kekal walaupun tubuh sudah tidak bernyawa. Kekal walaupun segala yang lembut sudah dimamah tanah.
Bila bercakap tentang kekal, perkataan “manusia” adalah serapan bahasa Arab. Na-Si-Ya. Maknanya, lupa. Sifat manusia itu lupa dan takut lupa. Sebab itu kita kumpul gambar, simpan surat, rakam suara, tulis nama pada buku, pada hadiah, pada helaian kertas kecil yang akhirnya disimpan dalam laci. Semua itu adalah percubaan manusia untuk melawan reput. Kita tahu tubuh kita akan kalah dengan masa, jadi kita cuba menyambungkan diri ke objek dan benda.
Tapi, kita lupa, tubuh juga menyimpan memori dengan caranya sendiri.
Kita juga selalu bercakap tentang mahu tinggal di hati seseorang. Tapi hati terlalu bising. Terlalu sibuk dengan lalu lintas emosi, dengan luka lama, dengan perkara yang datang dan pergi. Hati juga punya sifat berbolak-balik; hari ini sayang, esok mungkin letih, lusa mungkin lupa. Dan kenangan, seperti yang kita tahu, mudah reput.
Tetapi gigi lain sifatnya.
Gigi menyimpan benda kecil sebelum semuanya hilang. Cebisan biskut Marie. Bau teh beng pagi tadi. Rasa pahit peria yang belum sempat ditelan. Kadang-kadang darah dari bibir yang tergigit sendiri. Kadang-kadang gula-gula yang cair perlahan-lahan. Semua singgah sebentar di situ sebelum dibersihkan atau ditelan, seolah-olah tubuh memberi ruang kepada hal-hal kecil ini untuk tinggal sekejap sebelum dunia menolaknya pergi.
Mungkin sebab itu aku suka untuk tinggal di belakang gigi.
Kerana di situ, benda kecil pun diberi tempat dan perhatian.
Aku takut akan tiba satu hari di mana aku tidak lagi mampu mengingatmu dengan jelas. Sekarang, nada suaramu masih aku kenal; cara ketawamu masih kekal dalam fikiran. Tetapi ingatan juga ada hak untuk pudar. Bagaimana kalau suatu hari aku mula lupa ayat terakhirmu? Mungkin akan tiba masa aku ragu dengan suara itu. Adakah benar serendah ini? Adakah betul cara ketawamu begini, atau sebenarnya lebih perlahan? Dan mungkin garis halus pada wajahmu juga mulai kabur sedikit demi sedikit.
Tapi tidak mengapa.
Aku akan terus tinggal di belakang gigimu.
Dan kalau suatu hari tubuh nanti, kita benar-benar kembali kepada tanah, kalau suara sudah tidak boleh dipanggil semula, kalau wajah sudah kabur dalam ingatan orang-orang yang pernah mengenal kita, aku harap masih ada sesuatu yang bertahan.
Bunyi yang lebih bingit dari sunyi adalah rindu. Aku rindu kamu.
Comments
Post a Comment